Belakangan ini, kita sering mendengar seruan dan juga
saran supaya mendalami perbahasan para ulama cukup sekadar berpandukan
buku-buku yang dibeli sahaja tanpa perlu merujuk dan bertalaqqi dengan
para ulama.
Mereka juga turut merasa yakin dengan kefahaman
sendiri seolah-olah menyamakan taraf ilmu agama yang sangat rumit dan
memerlukan penjelasan daripada para ulama dengan ilmu-ilmu keduniaan
yang lain.
Maka muncullah
golongan tertentu yang merasakan diri mereka sudah cukup layak untuk
masuki di dalam bidang ini hasil bacaan buku semata-mata.
Gejala
ini mengundang pelbagai kesan negatif di antaranya kelemahan mereka
memahami dan mendalami perbahasan sesuatu bidang ilmu itu dengan
gambaran yang sebenarnya.
Ini kerana ilmu Islam bukan sahaja
mencakupi fakta dan kenyataan semata-mata, bahkan ia memerlukan
kefahaman yang jelas daripada dada-dada para alim ulama yang mengambil
ilmu daripada ulama terdahulu sehinggalah sampai kepada Rasulullah SAW.
Tanpa
bimbingan daripada ulama atau guru, jikalau berlaku salah kefahaman
ketika membaca, seseorang itu akan terus sesat dengan kefahamannya tadi
bahkan terus menyesatkan orang lain pula.
Disebabkan itulah muncul
kenyataan bahawa belajar agama seorang diri dengan buku semata-mata
tanpa bimbingan ulama/guru seumpama bergurukan syaitan (walaupun
kebanyakkan ulama berpendapat kenyataan ini bukan hadis tetapi Ibnu
Arabi di dalam kitabnya al-Futuhat al-Makiah berpendapat bahawa
kenyataan ini adalah hadis).
Memandangkan perkara ini telah menjadi perdebatan hangat, maka saya ingin mengambil sedikit ruang untuk menjelaskan perkara ini.
Semoga penjelasan ringkas ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.
InsyaAllah.
Alim Ulama Adalah Pewaris Para Nabi
Perkataan
ulama merupakan kata jamak dari kata dasar alim bermaksud seseorang
mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam. Ini berbeza dengan
perkataan alim yang beerti orang yang mengetahui akan tetapi belum tentu
orang itu mendalami.
Perkataan ulama ini telah disebutkan pada
beberapa tempat di dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW. samaada
secara langsung ataupun tidak yang menunjukkan bahawa ulama adalah
individu-individu terpilih yang menguasai ilmu Allah Taala dengan
mendalam dan memiliki akhlak terpuji.
Oleh itu, ulama yang saya
maksudkan di sini ialah seseorang pakar yang mempunyai ilmu pengetahuan
berkenaan dengan agama Islam secara mendalam dengan syarat-syarat
tertentu sebagai ulama.
Para ulama ialah mereka yang mampu
menyingkap dan memahami dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan
al-Hadis SAW dengan sempurna.
Mereka juga bukan sahaja setakat
memahami dalil-dalil dan penjelasan daripada ulama silam, bahkan ada
diantara mereka menghafal ratusan ribu hadis, matan-matan ilmu dan
sebagainya lagi untuk melayakkan mereka diistilahkan sebagai seorang
ulama.
Mereka sentiasa istiqamah dan melazimi ilmu-ilmu yang
mereka perolehi itu dengan ikhlas yang diajarkan kepada mereka
bersumberkan dari Rasulullah SAW. Agama Islam telah mengiktiraf ulama
sebagai pewaris para nabi sepertimana yang terdapat di dalam sebuah
hadis:
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Sesungguhnya
ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar
dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang
mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling
sempurna. – Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah
Oleh
itu, dapatlah kita simpulkan di sini bahawa ulama adalah golongan yang
mendapat kelebihan dan kemuliaan di sisi agama Islam dengan mengiktiraf
mereka sebagai pewaris para nabi.
Memandangkan ulama mendapat
tempat yang istimewa juga di dalam masyarakat, maka ramailah pula
golongan tertentu seolah-olah mendakwa diri mereka sama tarafnya dengan
ulama sedangkan mereka baru sahaja mengecapi permulaan memahami
ilmu-ilmu Islam.
Golongan seperti inilah yang akan merosakkan
syariat agama sedikit demi sedikit daripada mengikut manhaj para ulama
yang sebenarnya.
Kepentingan Mempelajari Ilmu Agama Daripada Ulama
Kita
biasa mendengar suara-suara sumbang daripada golongan tertentu yang
cuba sedaya-upaya untuk merendah-rendahkan keilmuan dan kemuliaan para
ulama bagi menutup kelemahan dan kesalahan yang telah mereka lakukan.
Ada
di antara mereka ini berkata bahawa para ulama bukanlah maksum
sepertimana Rasulullah SAW lantas menyarankan agar tidak perlu mengikut
tunjuk ajar daripada para ulama untuk memahami urusan agama Islam ini.
Mereka
juga berkata bahawa boleh sahaja untuk mengambil terus dalil-dalil
al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW dengan kefahaman sendiri dengan hanya
merujuk kepada buku-buku tertentu.
Adakah tindakan ini bertepatan dengan Islam?
Firman Allah Taala bermaksud:
Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (alim ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya. – Surah al-Nahl: Ayat 43
Imam
Syatibi di dalam karyanya al-Muwafaqat telah menjawab persoalan ini
dengan beliau menimbulkan persoalan mengenai bolehkah seseorang itu
memperolehi dan mempelajari ilmu agama dengan kefahaman sendiri tanpa
guru.
Beliau mempertahankan hujjahnya yang mengatakan betapa perlunya guru di dalam mendalami dan memahami sesuatu ilmu itu.
Imam Syatibi juga mengatakan bahawa para ulama telah berkata:
Sesungguhnya
ilmu itu berada di dada-dada guru, kemudian dipindahkan ilmu tersebut
ke dalam kitab. Maka kunci bagi ilmu tersebut tetap berada di tangan
para guru.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Sesungguhnya
Allah Taala tidak mencabut ilmu dengan menghilangkan ilmu daripada
manusia akan tetapi Allah Taala mencabut ilmu dengan mematikan para
ulama. – Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi
Menurut
Imam Syatibi lagi, hadis ini bertindak sebagai hujjah bahawa guru
adalah kunci bagi ilmu dan keperluan mempelajari ilmu daripada dada-dada
guru.
Selain itu juga, bagi pelajar yang tidak faham sesuatu
perkara yang dipelajarinya, mereka boleh terus bertanya kepada
guru/ulama untuk mendapatkan penjelasan sehingga terang semuanya.
Sedangkan bagi yang belajar tanpa guru, kefahaman mereka amat terbatas berdasarkan buku yang ada di hadapan mereka semata-mata.
Boleh jadi kefahaman mereka itu betul dan besar kemungkinan juga kefahaman mereka itu salah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Ilmu
itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu
sering bertanya semoga kamu diberikan rahmat oleh Allah Taala. Maka
sesungguhnya dari satu pertanyaan itu diberikan pahala akan empat orang.
Pertamanya orang yang bertanya. Keduanya guru yang menjawab. Ketiganya
orang yang mendengar jawapan itu. Keempatnya orang yang cinta kepada
mereka - Riwayat Abu Nuaim
Kritikan Belajar Agama Tanpa Bimbingan Ulama/Guru
Sanggahan
dan kritikan belajar tanpa bimbingan ulama/guru ini saya nukilkan
daripada kata-kata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi. Kenyataan beliau
ini diambil dari kitabnya al-Sahwah al-Islamiah Baina al-Jumud Wa
al-Tatarruf, katanya:
Kebanyakkan daripada mereka tidak bertalaqqi
dengan ahli ilmu dan syeikh-syeikh yang mempunyai pengetahuan khusus di
dalam bidang tersebut.
Sebaliknya mereka hanya menelaah lembaran
dan helaian kitab secara langsung tanpa membuka peluang dan tempoh untuk
merujuk dan berbincang apa yang akan diambil dan ditolak pendapatnya
untuk membolehkan dikenalpasti kefahaman itu dan pengetahuan yang
diletakkan di dalam mensyarahkan secara mendalam.
Ini akan dibentangkan dan diperbahaskan ketika tempoh pengkajian.
Akan
tetapi, malangnya mereka hanya membaca sedikit sahaja dan berdasarkan
kefahamannya (yang sedikit) itu mereka mengistinbatkan (mengeluarkan)
hukum-hakam.
Barangkali mereka melakukan kesalahan ketika membaca,
salah kefahaman atau juga salah di dalam mengistinbatkan hukum, tetapi
mereka masih tidak mengetahui kesalahan mereka itu.
Beliau menambah lagi kenyataan itu:
Walaupun
mereka ini ikhlas, namun hakikatnya mereka lupa bahawa ilmu syariat
(agama Islam) dan kefahamannya perlu dirujuk kepada ahli ilmu berkenaan
yang boleh dipercayai.
Sesungguhnya mereka tidak akan mampu
merempuh lautan luas ini secara seorang diri tanpa pembimbing
(ulama/guru) yang sentiasa memimpin tangan mereka.
Pembimbing
inilah yang akan menerangkan kepada mereka apa yang tidak jelas dan
istilah-istilah yang mempunyai kesamaran dan menerangkan dari
cabang-cabang sehinggalah apa yang utama dan akan memperlihatkan segala
kesamaran.
Pada akhir penerangannya mengenai perkara ini, beliau
menegaskan lagi kenyataannya bahawa perlunya berguru untuk mempelajari
ilmu agama, katanya:
Inilah (mempelajari ilmu agama dengan
ulama/guru) merupakan apa yang telah dijadikan sebagai langkah
berhati-hati oleh para ulama Salaf al-Soleh agar menjauhi dari
mempelajari ilmu dengan cara seperti ini (tanpa berguru).
Mereka
berkata: Janganlah mengambil al-Quran al-Karim hanya dengan mushafnya
dan bukanlah ilmu itu diambil dengan hanya daripada mushaf (kitab).
Apa
yang dimaksudkan dengan mengambil hanya daripada mushaf itu ialah
menghafaz al-Quran al-Karim dari catatan-catatan pada mushaf tanpa
bertalaqqi (mengambil dan belajar ilmu secara bersemuka dengan para
ulama/guru) dengan mulut-mulut guru yang diyakini (keilmuannya).
Peringatan ini bermaksud mengambil ilmu daripada catatan-catatan semata-mata tanpa belajar daripada ahli ilmu.
Berkata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi lagi di dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd:
Sesungguhnya
ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca
beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadis, lantas merasakan mereka
sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi
permulaannya.
Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan
agama, di dalam masa yang sama ilmu Bahasa Arab serta
komponen-komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang.
Seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik.
Mereka juga tidak mempelajari ilmu Usul Fiqh! Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan segala permasalahan.
Hal
ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan ilmu fiqh apatah lagi untuk
menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih
mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik.
Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata Imam Zahabi: Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu.
Tidak Boleh Langsung Belajar Dengan Buku?
Walaupun
saya menyeru kepada belajar ilmu agama dengan para ulama/guru yang
diyakini, ini bukanlah bermakna saya menolak secara mutlak belajar
melalui buku.
Cumanya belajar dengan buku tanpa guru perlu diberikan penelitian dan perhatian tentang keharusannya pada beberapa ketika.
Bagi
mereka yang berada di peringkat permulaan dan menengah, maka sudah
pastilah tuntutan mempelajari ilmu itu secara berguru lebih diutamakan
memandangkan mereka tidak mempunyai asas yang kukuh tentang sesuatu ilmu
itu.
Setelah mereka memahami dan mendalami segala asas-asas yang
diperlukan dengan kukuh, barulah mereka harus membaca buku-buku yang
berkaitan untuk menambahkan lagi pengetahuan.
Namun jika terdapat
beberapa perkara yang kurang difahami atau wujud kesamaran ketika
pembacaan, maka mereka dituntut semula untuk bertanya dengan ulama/guru.
Bagi
mereka yang tidak berkesempatan menuntut ilmu secara berguru, mereka
juga diharuskan membaca buku-buku atau mendengar ceramah dan boleh juga
membaca di internet untuk meningkatkan pengetahuan masing-masing.
Namun
jika terdapat sebarang perkara yang kurang difahami, maka mereka
mestilah merujuk juga kepada ulama/guru yang diyakini untuk mendapatkan
penjelasan lebih lanjut.
Ini kerana seseorang ulama/guru lebih
memahami sesuatu ilmu itu berbanding dengan orang yang hanya membaca
buku semata-mata sebagai rujukan.
Oleh itu, keutamaan dan
kelebihan sudah pastilah berada pada mereka yang mempelajari ilmu agama
secara berguru jika hendak dibandingkan dengan golongan yang mempelajari
ilmu agama tanpa berguru.
Ini kerana menuntut ilmu agama dengan berguru merupakan jalan yang ditempuhi oleh generasi Salaf al-Soleh dan para ulama lain.
Manakala
bagi mereka yang telah mendalami dan menguasai segala asas-asas ilmu,
mereka sudah boleh membaca sendiri kerana mereka mampu memahami isi
kandungan buku berkenaan berpandukan apa yang telah mereka pelajari
daripada ulama/guru sebelum itu.
Penutup
Andaikata
Islam menggalakkan belajar tanpa guru, mengapakah para ulama terdahulu
sanggup merantau dan berpindah-randah demi untuk menuntut dengan ulama
yang diyakini?
Bahkan mereka mempunyai ratusan guru yang terdiri
daripada alim ulama muktabar, bukankah ini menunjukkan kepentingan
berguru di dalam menuntut ilmu agama?
Mungkin ada yang
berpendapat, zaman dahulu tidak mempunyai teknologi canggih sepertimana
sekarang, disebabkan itulah mereka merantau untuk menuntut ilmu.
Jika benar kenyataan ini, mengapa pula Nabi SAW menyarankan umatnya untuk belajar (anak murid) dan mengajar (guru)?
Bukankah ini menunjukkan bahawa kepentingan menuntut ilmu agama secara berguru?
Tidak mungkin segala saranan Nabi SAW ini silap dan tidak mengikuti perkembangan zaman, bukan?
Berkata
Muhammad bin Sirin (seorang alim di zaman tabien) sepertimana yang
disebutkan di dalam kitab Sahih Muslim karangan Imam Muslim:
Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Maka lihatlah dari siapa engkau mengambil agamamu!
Ustaz Muhammad Rashidi Wahab (Buluh) http://www.iluvislam.com
0 komentar:
Posting Komentar